RABU, 29 DISEMBER – Lelaki Rohingya dikenali sebagai Long Tiger, yang meloloskan diri dari lokap Mahkamah Majistret Tangkak, pada 15 Disember lalu, berjaya diberkas pihak polis malam tadi.
Long Tiger atau nama sebenarnya Abdul Hamim Abdul Hamid, 33 tahun, ditahan di Sungai Petani, Kedah oleh sepasukan anggota pegawai dan polis dari Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.
Memetik laporan Berita Harian, penangkapan suspek terbabit disahkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.
Lelaki berketurunan Rohingya yang dikenali sebagai ‘Long Tiger’, bersama tiga individu dipercayai rakannya direman empat hari oleh Mahkamah Majistret hari ini.
Perintah tahanan reman terhadap Abdul Hamim Ab Hamid, 32, dan tiga lagi lelaki masing-masing berusia 36, 38 dan 46 tahun sehingga 1 Januari itu, dikeluarkan Majistret Analia Kamaruddin.
Sementara itu, dua anggota polis digantung tugas bagi membantu siasatan berhubung insiden berkenaan kerana disyaki terbabit secara langsung atas kesalahan kecuaian yang menyebabkan tahanan itu berjaya melarikan diri.