SELASA, 28 DISEMBER – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) tidak sependapat dengan Umno dalam menuntut kerajaan membenarkan pengeluaran tunai RM10,000 dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Sebaliknya, Presiden penaja Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, rakyat tidak seharusnya dibiar sehingga terpaksa bergantung kepada wang KWSP masing-masing setiap kali krisis seperti bencana banjir melanda.
Presiden Penaja Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata :
“Oh, apabila ada krisis, bila tak ada duit, pelan A adalah keluarkan duit i-Citra. Sebenarnya kerajaan yang perlu memastikan bahawa bantuan dana yang mencukupi diberikan, supaya mereka (mangsa) mendapat pembelaan yang sewajarnya”
Ahli Parlimen Muar itu berkata, tanggungjawab memberikan bantuan kewangan kepada mangsa sepatutnya tergalas di bahu kerajaan baik kerajaan pusat mahupun negeri – serta syarikat-syarikat pembalakan.
Menurutnya, usaha lain – seperti pengeluaran wang tunai daripada KWSP boleh menjadi pelan alternatif, tetapi yang harus menjadi keutamaan adalah memberikan bantuan kewangan mencukupi kepada mangsa supaya mereka tidak perlu terpaksa mengeluarkan wang simpanan hari tua yang boleh menjejaskan masa depan mereka.
Sealin Syed Saddiq, bekas Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak sebelum ini mencadangkan kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) agar membenarkan pencarum untuk mengeluarkan maksimum RM 10,000 bagi mengharungi cabaran kehidupan yang wujud berikutan impak penularan wabak Covid-19 dan banjir yang dihadapi ketika ini.
Namun padangan bekas Perdana menteri itu ditepis oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri, berikutan Kerajaan tidak berhasrat meluluskan pengeluaran wang daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjumlah RM10,000, meskipun ramai mangsa terjejas dengan banjir ketika ini, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ia berikutan kerajaan sudah memperuntukkan dana dan mengumumkan bantuan yang mencukupi untuk membantu mangsa banjir di seluruh negara, selain sedia menambah peruntukan berkenaan.