ISNIN, 27 DISEMBER – Kerajaan bersetuju mewujudkan pasukan petugas khas pascabanjir dan untuk persediaan menghadapi banjir gelombang kedua.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pasukan petugas khas itu akan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Datuk Seri Ismail berkata pasukan petugas khas yang akan dianggotai oleh agensi terlibat termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu, akan mengadakan mesyuarat pertamanya seawal esok.
Antara perkara yang akan dibincang dan diputuskan oleh pasukan petugas khas itu ialah koordinasi pelaksanaan proses pembersihan rumah dan kediaman serta mekanisme pemberian wang bantuan ihsan banjir agar cepat sampai kepada penerima terjejas, yang menjadi keutamaan pada ketika ini.
Pasukan petugas khas tersebut juga akan mencari penyelesaian pengurusan sisa pepejal hasil dari kemusnahan akibat banjir.
Tambahnya, setakat ini kerajaan melalui Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) menyediakan insinerator bergerak, yang akan melupuskan sisa pepejal secara ‘insitu’ tanpa asap dan tidak mencemarkan alam sekitar.
Terdahulu Perdana Menteri melakukan tinjauan ke atas mangsa banjir di Nanding dan Dusun Tua Hulu Langat, selangor.