ISNIN, 27 DISEMBER – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menempatkan pasukan dan aset di beberapa lokasi di Sungai Gabai dan Sungai Lui sebagai persediaan kemungkinan berlakunya gelombang kedua banjir di kawasan Hulu Langat Selangor.
Ketua Bomba Zon Hulu Langat, Shahrin Yusmar Mat Yusof, berkata mereka sudah menerima amaran awal daripada Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) menjangkakan berlaku hujan lebat di daerah itu hingga 29 Disember ini.
“Kami sudah bersiap siaga untuk menggerakkan pasukan dan aset pada bila-bila masa dan telah membuat persediaan di Bilik Gerakan Operasi Bencana Daerah bersama pasukan pengurusan bencana daerah.”
-Shahrin Yusmar Mat Yusof, Ketua Bomba Zon Hulu Langat
Pihaknya sudah bersiap siaga untuk menggerakkan pasukan dan aset pada bila-bila masa dan telah membuat persediaan di Bilik Gerakan Operasi Bencana Daerah bersama pasukan pengurusan bencana daerah.
Mengenai dakwaan kenaikan air di sungai di lokasi itu semalam, beliau berkata berlaku aliran air yang banyak disebabkan hujan di Genting Peras walaubagaimanapun air sungai berkenaan sudah pun surut.
Shahrin Yusmar berkata semalam pihaknya membuat tindakan terhadap satu video yang tular, mengatakan berlaku kenaikan air Sungai Tuntung.
Beliau berkata operasi pemantauan ditamatkan awal pagi tadi selepas mendapati air sungai di paras normal.