SABTU, 25 DISEMBER – Prihatin dengan situasi bencana banjir yang melanda, Majlis Amanah Rakyat (MARA) memberi kelonggaran untuk penjadualan semula bayaran balik pinjaman pelajaran kepada mereka yang terlibat.
Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, peminjam perniagaan turut diberi kelonggaran itu selain pengecualian bayaran sewaan premis perniagaan kepada peniaga yang terjejas.
Dalam satu kenyataan media hari ini, Mahdzir berkata insentif ini merupakan tanda keprihatinan MARA terhadap kepayahan dan kerugian yang ditanggung oleh penerima kemudahan yang terjejas akibat bencana tersebut
Tambah beliau, buat masa ini MARA juga tidak akan meneruskan sebarang tindakan penguatkuasaan ke atas peminjam kemudahan MARA yang terkesan dengan bencana banjir yang melanda kali ini.
Bagi penyewa premis perniagaan MARA pula, pertimbangan pengecualian bayaran sewa adalah berdasarkan kerosakan dan kerugian yang ditanggung oleh penyewa.
Untuk memohon kelonggaran tersebut, orang ramai boleh hubungi Pejabat MARA Negeri atau Daerah berhampiran atau boleh mendapatkan maklumat lanjut melalui laman sesawang MARA.