Berat sama dipikul ringan sama dijinjing itulah perumpamaan buat Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Selangor yang telah menyampaikan sumbangan kepada warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan masyarakat di Selangor yang terjejas akibat bencana banjir.
Pengerusi PERKEP Selangor, Datin Baidzura binti Su bersama Biro-Biro PERKEP Kontinjen Selangor membantu meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa-mangsa banjir samada dari anggota-anggota PDRM itu sendiri atau orang ramai. Sumbangan dan bantuan yang telah dihulurkan berupa keperluan asas seperti alat mandian, pakaian, susu formula, lampin pakai buang, makanan dan sebagainya.
“Program bantuan oleh PERKEP Selangor melibatkan tiga lokasi yang berbeza iaitu di Pangkalan Polis Marin Pulau Indah, Balai Polis Batu 9, Kajang dan di Dewan Orang Ramai Taman Sri Nanding, Hulu Langat”
PERKEP Selangor di bawah pimpinan Datin Baidzura binti Su akan meneruskan program sebegini bagi membantu bukan sahaja kepada keluarga PDRM tetapi juga kepada ahli masyarakat yang terkesan akibat bencana banjir yang melanda negeri Selangor ketika ini.
Pengerusi PERKEP Selangor juga menitipkan doa agar keadaan kembali pulih seperti sediakala.