JUMAAT, 24 DISEMBER – Bencana banjir yang melanda negara menyaksikan penurunan jumlah mangsa banjir di Selangor, Kelantan, Pahang dan Melaka, manakala Negeri Sembilan merekodkan sedikit peningkatan sementara di Perak pula jumlah mangsa kekal, setakat pagi tadi.
Kelantan mencatatkan penurunan apabila 1,389 orang daripada 472 keluarga pagi tadi berbanding 1,666 orang daripada 572 keluarga, semalam, melibatkan lapan pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka kesemuanya di jajahan Pasir Mas.
Di Selangor, Unit Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan negeri itu merekodkan penurunan jumlah mangsa banjir iaitu 17,915 dari 4,407 keluarga melibatkan 101 pusat pemindahan sementara berbanding 18,126 orang di 103 PPS malam semalam.
Sementara itu, jumlah mangsa banjir di Pahang sedikit menurun kepada 34,390 orang yang ditempatkan di 245 PPS kini berbanding 34,487 di 246 PPS semalam.
Melaka mencatatkan penurunan kepada 110 mangsa daripada 27 keluarga dan kesemua mangsa ditempatkan di dua PPS yang masih dibuka di daerah Alor Gajah dan Jasin.
Manakala di Negeri Sembilan, Pengarah APM negeri Lt Kol (PA) Mohd Syukri Madnor berkata mangsa banjir di negeri itu adalah 309 individu daripada 84 keluarga dengan empat PPS masih dibuka di Jelebu setakat pagi tadi.