KHAMIS, 23 DISEMBER – Isu curang baru-baru ini yang melibatkan penjawat awam yang tular di media sosial menerima reaksi pelbagai pihak.
Memetik hantaran Presiden Pertubuhan Ikatan Wanita Antarabangsa bagi Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ);
Profesor Madya Doktor Rafidah Hanim di laman facebooknya, beliau menggesa agar tindakan undang-undang segera dilaksanakan terhadap pihak yang terlibat mengadakan hubungan sulit.
Prof Madya DR Rafidah Hanim Mokthar, Presiden WAFIQ :
‘’Jika undang-undang Syariah Seksyen 32, 33 dan 34 diambil tindakan, saya yakin kita dapat mengurangkan situasi wanita merasa tidak terbela dan kita tidak memisahkan soal moraliti dari perkhidmatan awam,’’
Beliau berkata, nasib wanita akan lebih terbela jika undang-undang syariah terbabit dilaksanakan.
Jelasnya, undang-undang berkenaan merujuk kepada enakmen kesalahan jenayah syariah 2013, undang-undang boleh dikenakan terhadap mana-mana pihak yang memujuk Wanita yang sudah berkahwin meninggalkan keluarga, menghalang pasangan yang sah daripada hidup sebagai suami isteri dan membuat hasutan perceraian.
Mengulas lanjut mengenai isu curang yang tular baru-baru ini, Dr Rafidah turut menyentuh tentang peraturan yang jelas di Malaysia dan kebanyakan negara maju yang menghalang perhubungan sesama rakan sekerja terutama berbentuk skandal.
Tegas beliau, walaupun kerja pihak-pihak terlibat masih berjalan seperti biasa namun ia tidak wajar dijadikan alasan untuk menghalalkan perbuatan tidak bermoral.
Sebelum ini, Isu berkenaan melibatkan penjawat awam apabila didapati suami pasangan tersebut mengadakan hubungan sulit dan dibongkarkan isterinya.
Menurut isteri berkenaan, aduan sudah dibuat ke pihak berkuasa namun tidak dihiraukan.