KHAMIS, 23 DISEMBER – Seramai 37 mangsa meninggal dunia akibat banjir di seluruh negara sehingga pagi tadi.
Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah, 10 lagi mangsa masih hilang serta operasi mencari dan menyelamat sedang terus dijalankan.
Setakat ini, 68, 391 mangsa banjir direkodkan di pusat pemindahan sementara seluruh negara.
Sementara itu, di Selangor Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor (JBPM) merekodkan 16 kes kematian akibat lemas dalam kejadian banjir yang menimpa negeri itu sejak Jumaat lalu hingga pagi tadi.
Jumlah itu membabitkan 10 lelaki dan enam wanita masing-masing 11 kes di Zon Shah Alam, manakala Zon Klang (satu), Zon Selangor Selatan (tiga) dan Zon Selangor Utara (satu).
JBPM Selangor turut melaporkan dua kejadian tanah runtuh masing-masing di Zon Petaling dan Hulu Langat, selain tiga zon lain iaitu Hulu Langat, Selangor Selatan serta Hulu Selangor direkodkan masih mengalami banjir.