
( Enam negeri terjejas banjir / sumber : hmetro)
KHAMIS, 23 DISEMBER – Sebanyak 210 lokasi di enam negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu, Kelantan, Pahang dan Kedah masih terjejas akibat banjir setakat pagi tadi.
Pusat Kawalan Operasi Bencana, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam kenyataan hari ini memaklumkan lokasi tersebut membabitkan lapan daerah di Selangor dan Pahang, dua di Terengganu dan tiga masing-masing di Kelantan, Kedah dan Negeri Sembilan.
Dalam kenyataan hari ini NADMA memaklumkan, antara lokasi yang terjejas akibat banjir itu adalah Bera, Jerantut, Maran, Raub, Pekan, Temerloh, di Pahang dan Kuala Selangor, Kuala Langat, Hulu Langat di Selangor.
Rentetan kejadian itu, sebanyak 83 jalan persekutuan dan 126 jalan negeri terjejas membabitkan banjir kilat, banjir, cerun runtuh, jalan runtuh, jalan mendap dan jambatan rosak.
Dalam perkembangan lain, paras air banjir di Taman Sri Muda, Seksyen 25 Shah Alam semakin surut.
Proses mengepam air keluar dari kawasan banjir di berjalan lancar walaupun hujan lebat melanda sekitar Shah Alam awal pagi tadi.
Manakala jumlah mangsa banjir di Pahang terus meningkat, mencecah 42,529 penduduk setakat pagi tadi.
Memetik laporan Berita Harian, Mangsa banjir dipindahkan ke 281 pusat pemindahan sementara (PPS) di semua daerah, kecuali Rompin dan Cameron Highlands.
Jumlah mangsa di daerah Kuantan, Temerloh dan Bera meningkat mendadak dengan mangsa paling ramai adalah di Kuantan, membabitkan 21,837 penduduk daripada 5,866 keluarga yang kini ditempatkan di 68 PPS.