RABU, 22 DISEMBER – Kementerian kesihatan menjangkakan akan terdapat peningkatan kejadian penyakit berjangkit berkaitan banjir selain berkemungkinan berlakunya peningkatan kes COVID-19.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, menasihatkan orang ramai yang terlibat di kawasan banjir untuk mengambil langkah-langkah yang sepatutnya.
“Orang ramai dinasihatkan agar mengambil air minum dan makanan yang bersih dan tidak tercemar serta sentiasa mengamalkan penjagaan kebersihan persekitaran.”
– Tan Sri DR Noor Hisham Abdullah, Ketua Pengarah Kesihatan
Menerusi kenyataan dalam laman Facebook Noor Hisham menyarankan orang ramai menggunakan alat pelindung diri seperti but getah dan sarung tangan getah semasa aktiviti pembersihan terutamanya jika melibatkan banjir lumpur bagi mengelakkan penyakit berjangkit berkaitan banjir.
Beliau turut menasihatkan agar mengambil air minum dan makanan yang bersih dan tidak tercemar bagi mengelakkan kejadian penyakit bawaan air dan makanan seperti keracunan makanan, taun, hepatitis A dan demam kepialu.
Tambahnya, KKM telah menyediakan pasukan perubatan di PPS Banjir terutama di PPS yang besar, membekalkan ubat-ubatan asas, cecair pembasmi kuman dan pelitup muka kepada mangsa-mangsa banjir di PPS.
Selain itu ujian saringan saringan COVID-19 turut dilakukan juga ke atas mangsa banjir sebelum memasuki PPS.