
(Bekas Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian meninggal dunia / bharian)
RABU, 22 DISEMBER – Jenazah bekas Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Impian Emas selepas Zohor hari ini.
Timbalan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Johor, Senator Md Nasir Hashim, berkata perkara itu dimaklumkan keluarga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas itu.
Menurut Md Nasir, jenazah Datuk Osman Sapian dijangka tiba tengah hari in dari Damansara.
Jenazah akan dibawa ke Masjid Al-Raudah, Kampung Dato Onn, Larkin untuk disolatkan sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Taman Impian Emas.
Allahyarham 70 disahkan meninggal dunia di kediaman anaknya di Damansara kira-kira jam 11.45 malam semalam dan perkara itu disahkan oleh abang kepada bekas Menteri Besar Johor ke 16, Datuk Aziz Sapian.
Sebelum ini, pada 13 Oktober media melaporkan Osman dikejarkan ke Hospital Pakar Kumpulan Perubatan Johor kerana diserang strok ringan.
Beliau kemudiannya dipindahkan ke Hospital Pengajar Universit Putra Malaysia (HPUPM) Selangor untuk mendapatkan rawatan selepas tahap kesihatannya merosot.