(Kenyataan Media / sumber : FB Pejabat Perdana Menteri)SABTU, 18 DISEMBER – Tempoh moratorium akan dilanjutkan lagi khusus kepada peminjam bagi kategori B50 ke bawah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat sebagai usaha meringankan beban rakyat ketika ini.
“Moratorium yang akan tamat pada 31 Disember ini akan disambung lagi selama dua tahun kepada peminjam B50 ke bawah bagi meringankan beban rakyat.
– Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri
Menerusi laman Facebook, beliau berkata moratorium yang akan tamat pada 31 Disember ini akan disambung lagi selama dua tahun kepada peminjam B50 ke bawah bagi meringankan beban rakyat.
Ismail Sabri turut meminta pihak bank untuk tidak mengenakan tindakan undang-undang terhadap peminjam-peminjam yang gagal membayar semula pinjaman sebaliknya peminjam boleh berbincang dengan pihak bank untuk menstrukturkan semula kaedah bayaran balik pinjaman.
Dalam pada itu, kerajaan juga telah meningkatkan nilai ambang kebankrapan kepada RM100,000 selain turut melaksanakan Program Pengurusan dan Ketahanan Kewangan (URUS) yang dibuka untuk permohonan sehingga 31 Januari 2022.
Selain itu, pelbagai inisiatif turut disediakan kerajaan kepada rakyat menerusi Bajet 2022.
Antaranya adalah, Bantuan Keluarga Malaysia, bantuan awal persekolahan, rancangan makanan tambahan anak-anak miskin, PerantiSiswa Keluarga Malaysia, dan Program JaminKerja dan Latihan MySTEP.
Menurut Ismail Sabri, kerajaan juga telah mengaktifkan semula Majlis Perlindungan Sosial (MySPC) bagi membentuk dasar keselamatan sosial yang komprehensif dan bersepadu bagi jangka masa panjang.