JUMAAT, 17 DISEMBER – Mahkamah Tinggi Kota Bharu semalam menetapkan 20 Mac tahun depan bagi tarikh pendengaran penuh kes tuntutan Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-GURU) berhubung keabsahan sekolah vernakular, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina SJKC dan Sekolah Jenis Kebangsaan SJKT di Malaysia.
Presiden i-GURU, Mohd Azizee Hasan berkata, tujuan kes berkenaan dibawa ke peringkat mahkamah bagi meneliti pelaksanaan perkara 152 perlembagaan iaitu mendaulatkan atau Bahasa Melayu sebagai Bahasa kebangsaan terhadap sekolah berkenaan.
Mohd Azizee Hasan sebagai Presiden i-GURU berkata :
“Kita telah mulakan kes ini sejak tahun 2019 dan akibat pandemik prosiding mahkamah tidak dapat dijalankan secara bersemuka jadi kita akan menunggu keputusan daripada mahkamah Kota Bharu untuk menentukan keabsahan sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil jadi tujuan kita membawa kes ini adalah untuk melihat sejauh mana pelaksanaan perkara 152 perlembagaan iaitu mendaulatkan atau Bahasa melayu sebagai Bahasa kebangsaan itu diaplikasikan di sekolah SJKT dan SJKC.”
Menurut Azizee, Bahasa Melayu sebagai Bahasa kebangsaan perlu dijadikan sebagai Bahasa utama dalam urusan rasmi termasuk institusi pendidikan.
Jutseru katanya, kewujudan SJKC dan SJKT perlu dinilai semula dalam memenuhi perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan di negara ini.
“Jadi kita nak melihat kalaulah Bahasa Melayu sebagai Bahasa kebangsaan seharusnya semua pihak dalam urusan rasmi menggunakan Bahasa melayu jadi jika terdapat institusi pendidikan seperti SJKC SJKT tidak menjadikan Bahasa melayu sebagai bahasa utama pengantar dalam pengajaran dan pembelajaran maka di situ kita boleh melihat adakah kewujudan SJKC SJKT memenuhi perkara 152 yang termaktub dalam perlembagaan itu yang kita nak lihat sejauhmana SJKC SJKT akur dan patuh kepada perkara 152 perlembagaan.”
Peguam i-guru, Shaharudin Ali berkata, Hakim Mohamad Abazafree Mohd Abbas menetapkan tarikh perbicaraan semasa pengurusan kes perkara itu awal semalam.
Shaharudin berkata mahkamah mengarahkan pihak terlibat untuk memfailkan hujahan bertulis mereka selewat-lewatnya pada 28 Feb tahun depan.
Pada 20 Februari tahun lepas di Mahkamah Tinggi Kota Bharu, i-GURU memfailkan tuntutan undang-undang itu untuk mencabar kedudukan sekolah vernakular dari sudut perlembagaan.
Tindakan undang-undang itu menamakan kerajaan persekutuan dan menteri pendidikan (yang tidak dinamakan) sebagai defendan.
Kes tuntutan i-GURU berhubung keabsahan sekolah vernakular, SJKC, SJKT
Fail dikemukakan :
- Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia – i-GURU
- Ikatan Muslimin Malaysia – ISMA
- Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS),
- Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (MAPPIM)
- Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA
Pemfailan kes itu adalah bagi memohon pengisytiharan bahawa Seksyen 17 dan 28 Akta Pendidikan 1996, yang membenarkan penggunaan bahasa Mandarin dan Tamil sebagai bahasa pengantar di sekolah Cina dan Tamil, sebagai tidak konsisten dengan Perlembagaan Persekutuan.
Pada 29 Disember depan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan membuat keputusan mengenai saman memohon mahkamah mengisytiharkan kewujudan sekolah vernakular melanggar Perkara 152 (1) Perlembagaan Persekutuan yang mentakrifkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Ia difailkan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (Mappim) dan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena).
Peguam bagi plaintif, Mohamed Haniff Khatri Abdulla, sebelum itu juga membuat kenyataan supaya orang politik diam dan biar mahkamah membuat keputusan berhubung isu keperlembagaan sekolah vernakular di mahkamah.
Haniff pada bulan lalu berkata ahli politik yang gagal menyelesaikan isu berkenaan sejak 64 tahun lalu.