JUMAAT, 17 DISEMBER – Sekolah vernakular juga dikatakan antara masalah utama untuk merungkai kejituan perpaduan di negara ini.
Pandangan itu dinyatakan oleh Penasihat Khas Kesihatan Awam kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai sekolah vernakular.
Tan Sri Doktor Jemilah Mahmood menyatakan bahawa dasar sekolah vernakular merupakan antara masalah utama yang masyarakat di Malaysia yang perlu selesaikan dalam menghapuskan jurang sosial antara kaum di Malaysia.
Dalam ucapan beliau pada forum “Prinsip Kesepaduan Sosial Dalam Membina Keluarga Malaysia: Realiti dan Cabaran” pengasas badan kebajikan MERCY itu juga menegaskan dasar pendidikan vernakular telah memecah-belahkan masyarakat.
Tan Sri DR Jemilah Mahmood, Penasihat Khas Kesihatan Awam kepada Bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin :
“Kita mempunyai pengasingan melalui sekolah vernakular dan sebagainya, satu isu yang sangat politikal, tetapi telah memecah-belahkan negara kita. ”
Beliau turut menegur sikap sesetengah guru dan ibu bapa yang sering menerapkan unsur-unsur prejudis dan berbaur kebencian dalam minda kanak-kanak.
Beliau turut mempersoalkan – Apa peluang kanak-kanak untuk berfikir luas? Apa peluang mereka untuk berdialog? Apa peluang mereka untuk tidak menjadi seorang yang ‘judgemental’?
Menurut beliau, perubahan dalam aspek pendidikan memerlukan keupayaan politik, namun jika harapan digalaskan kepada ahli politik sahaja tiada sebarang perubahan yang akan berlaku.
Secara berseloroh, Dr Jamilah berkata – Menunggu ahli politik membuat keputusan ataupun tindakan, sampai bila-bilapun tidak ada apa-apa yang akan berlaku.
Beliau berkata demikian dalam laporan portal Berita Samudera Dot My.