JUMAAT, 17 DISEMBER – Cadangan untuk memansuhkan tarikh sambutan Hari Merdeka pada 31 Ogos tidak dipersetujui oleh beberapa orang veteran Angkatan Tentera Malaysia, ATM yang dihubungi TV Pertiwi hari ini.
Menurut mereka, tindakan itu seperti memperkecilkan perjuangan darah, keringat dan air mata yang dicurahkan mereka ketika memperjuangkan Kemerdekaaan negara selama ini.
Mustafa Jantan sebagai Veteran ATM berkata :
“…Saya tetap berkenankan tarikh yang ada sekarang, Hari Kemerdekaaan tetap hari Kemerdekaaan, dan Hari Malaysia juga sejarah untuk hari pertubuhan Malaysia, kalau diambil dari satu sejarah sahaja kita terpaksa hilang pula satu sejarah negara kita…”
Beliau bercerita mengenai pengisytiharan Hari Kemerdekaan 31 Ogos adalah untuk Malaya pada ketika itu belum ada negara Malaysia;
Mustafa yang kini sudah mencecah lebih 80 tahun usia, berasa terkilan apabila Bekas Menteri sendiri yang mencadangkan pemansuhan sambutan Hari Merdeka itu.
“…Memandang rendah, atau mengecilkan sahaja perjuangan yang dilaksanakan oleh Veteran-Veteran sehinggakan menteri sanggup berkata begitu, seperti kami tak dipandang jasa-jasa saya terasa memang saya terasa…”
Bagi seorang lagi veteran ATM, Datuk Seri Zaini Mohd Said pula berpendapat jasa dan pengorbanan bekas parajurit dan erti Kemerdekaan itu sendiri yang perlu dihayati generasi muda bukan tarikh yang penting sebenarnya.
Datuk Seri Zaini Mohd Said sebagai Veteran ATM berkata :
“…. Memikirkan atau terpaksa membuat keputusan, kita hendak mengenangkan sejarah penubuhan negara, atau bersekali dengan tarikh penubuhan sejarah negara dan semangat kemerdekaaan, yang ketiga-tiga, Semenanjung, Sabah dan Sarawak, alami dalam penubuhan Malaysia, kalau kita buat 16 September kita sudah ingat Hari Malaysia sahaja, lama kelamaaan hilang mengingatkan semangat kemerdekaan sebagai satu bangsa yang bebas berdiri di atas kaki sendiri, dari hanya mengingat penubuhan satu negara sahaja…Yang penting semangat kemerdekaaan bukan tarikh itu sangat…”
Terdahulu memetik hantaran Facebook, Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Aminuddin Yahaya berkata,
Cadangan melupakan tarikh 31 Ogos 1957 bermakna melupakan satu siri rantaian sejarah penting buat sejarah Sabah dan Sarawak serta Malaysia secara keseluruhannya.
Dan kata aminuddin adalah satu yang amat mendukacitakan apabila Bekas Menteri, yang juga Ahli Parlimen Padang Rengas Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mencadangkan supaya Hari Merdeka 31 Ogos, digugurkan kerana sudah tiada makna lagi, baru-baru ini.
Nazri berkata demikian dalam satu sesi perbahasan di parlimen kelmarin.