KHAMIS, 16 DISEMBER – Kejutan yang dicetuskan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong dari Parti Sarawak Bersatu (PSB), Datuk Tiong Thai King, kelmarin yang meminta pengundi di kawasan itu memilih calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) menghangatkan lagi suasana kempen di kawasan paling ramai calon bertanding itu.
Thai King yang menyandang kerusi itu sejak pilihan raya negeri 2016 tidak disenaraikan PSB untuk mempertahankan kawasan itu, sebaliknya parti pembangkang tempatan Sarawak itu meletakkan calon muka baharu, Wong Hie Ping, bagi mencabar Datuk Seri Tiong King Sing yang mewakili GPS.
Tindakan PSB yang tidak menyenarai Thai King itu menimbul tanda tanya sehinggalah tokoh korporat berusia 76 tahun itu mengeluarkan kenyataan menerusi advertorial di sebuah akhbar tempatan kelmarin yang mengakui beliau sudah meninggalkan parti itu 1 Disember lalu.
Tindakan beliau meminta pengundi menyokong calon GPS juga berhubung kait dengan kepentingan perniagaan syarikat keluarga yang diterajuinya, Kumpulan Rimbunan Hijau, yang memerlukan kerjasama kerajaan untuk terus berfungsi dengan lancar.
Ia sekali gus menyaksikan Thai King sendiri seolah-olah tidak yakin PSB mampu membentuk kerajaan Sarawak pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 seperti yang mereka laungkan selama beberapa bulan sebelum ini.
Kenyataan itu mungkin dilihat menguntungkan GPS, namun calon parti pemerintah yang juga Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) serta Ahli Parlimen Bintulu itu juga dipertikaikan sebelum hari penamaan calon lagi.