RABU, 15 DISEMBER – Jawatankuasa Disiplin Maktab (JDM) menamatkan pengajian 10 pelajar Maktab Rendah Sains Mara, MRSM yang dikenal pasti terlibat dalam kes buli yang tular baru-baru ini.
Ketua Pengarah MARA, Datuk Azhar Abdul Manaf, berkata mesyuarat JDM telah mengkaji kes tersebut dengan teliti dan mengambil keputusan menamatkan pengajian pelajar terbabit berkuat kuasa hari ini.
“Pihak MARA mengambil serius kejadian buli yang berlaku minggu lalu itu dan hukuman yang telah diputuskan ini menunjukkan pihak kita tegas dan tidak berkompromi terhadap kesalahan buli dalam kalangan pelajar-pelajar di bawah mana-mana Institusi Pendidikan MARA, IPMA mahupun tajaan MARA.”
– Datuk Azhar Abdul Manaf, Ketua Pengarah MARA
Azhar dalam satu kenyataan medianya hari ini berkata, pihak MARA mengambil serius perkara itu dan tidak berkompromi dengan kesalahan buli pelajar berkenaan.
Tambahnya ibu bapa pelajar terlibat telah dimaklumkan mengenai keputusan jawatankuasa berkenaan.
Beliau berharap keputusan itu menjadi satu pengajaran bukan saja kepada pelajar yang terlibat, tetapi juga kepada pelajar-pelajar yang lain agar tidak berlaku lagi perbuatan salah laku di mana-mana institusi pendidikan di bawah MARA.
Pihak MARA tegas Azhar, komited menangani kes-kes buli dengan memperketatkan prosedur operasi standard, SOP, melalui penguatkuasaan peraturan sekolah.
Sementara itu di parlimen, Tindakan tegas akan diambil oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ke atas mana-mana sekolah atau pengurusannya menyembunyikan kes buli di sekolah terbabit.
Menegaskan perkara tersebut, Senator Datuk Dr. Radzi Md. Jidin selaku Menterinya berkata, ia sebagai langkah pencegahan serta memandang serius terhadap kes buli yang melibatkan para pelajar.