SELASA, 14 DISEMBER – Kejadian buli memberi risiko jangka masa panjang kepada mangsa sehingga boleh membawa tekanan mental.
Menurut pakar Psikiatri Kuliyyah Perubatan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia UIAM, Doktor Rozanizam Zakaria, kejadian buli terjadi bukan sahaja dalam bentuk fizikal namun berlaku dalam bentuk emosi.
Ujar beliau rata-rata masyarakat hari ini melenting apabila buli melibatkan fizikal namun buli secara emosi dan mental juga perlu diberi perhatian.
DR. Rozanizam Zakaria sebagai Naib Presiden I-Medik berkata :
“…Contoh troll,menghina mengaibkan orang bawa cerita yang negatif terhadap orang lain memberi komen-komen yang sangat kritikal dan tidak berhati perut pada orang lain di media sosial pun adalah salah satu bentuk buli dan saya perhatikan adalah hilangnya kesensitivitian ataupun rasa belas dan ihsan kita terhadap orang lain dalam media sosial yang menunjukan kegagalan masyarakat untuk memahami impak apa yang kita lakukan kita kepada orang lain….”
Mengulas lanjut, Dr Rozanizam berkata, walaupun tiada sentuhan secara fizikal, kejadian buli masih boleh berlaku melalui media sosial.
Jelasnya, masyarakat perlu tahu punca dan mengapa buli itu berlaku bagi mengelakkan perkara ini dari terus membarah dalam kalangan masyarakat.
“…Pertamanya kita faham dahulu kenapa ia berlaku, kita kena cuba memahami kenapa remaja itu terlibat…. Bukan sekadar persekitaran semata-mata.”
Tambah Dr Rozanizam, peringkat asasnya masyarakat perlu memahami mengapa remaja terlibat dengan budaya buli.
Katanya, banyak faktor-faktor yang mendorong dari segi persekitaran, pergaulan dan juga pendidikan individu itu sendiri, namun tidak dinafikan, individu yang membuli mungkin berpunca dari pengabaian keluarga.
“… lebih banyak kes-kes seperti ini kita dedahkan… kesedaran itu akan meningkat…sampai bawak kes-kes polis.”
Terdahulu, tular video kejadian buli didakwa berlaku di Maktab Rendah Sains Mara MRSM Sultan Azlan Shah Kuala Kangsar.
Susulan kejadian berkenaan, pihak polis telah memanggil kesemua pelajar terlibat serta pemilik akaun media sosial yang menularkan video berkenaan bagi memberi keterangan.
Kes disiasat di bawah seksyen 147 kanun keseksaan dan seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.