SELASA, 14 DISEMBER – Tindakan Ketua Pemuda MIC, K Raven Kumar mendakwa sekolah vernakular adalah harta dan denyut nadi mereka disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab.
Naib Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Mohd Nor Izzat Mohd Johari percaya, kenyataan itu adalah ‘peluru terakhir’ daripada gabungan Dong Zong untuk membela sekolah berkenaan.
“Tidak sepatutnya MIC mengeluarkan kenyataan sedemikian, biarpun tahu ia masih di peringkat perbicaraan di mahkamah dan keadaan itu hanya akan mengeruhkan lagi keadaan.”
– Mohd Nor Izzat Mohd Johari selaku Naib Pengerusi PEMBELA
Memetik laporan Ismaweb, Nor Izzat berkata kenyataan pemuda MIC itu dianggap satu tindakan terburu-buru berikutan kes berkaitan sekolah vernakular masih dalam proses mahkamah.
Tegasnya, tidak sepatutnya (MIC) mengeluarkan kenyataan sedemikian kerana keadaan itu hanya akan mengeruhkan lagi keadaan dan tidak memikirkan kesan jangka panjang.
Sebelum ini, Raven berkata beliau tidak akan membenarkan mana-mana pihak untuk memansuhkan sekolah vernakular khususnya sekolah jenis kebangsaan (SJK) Tamil di negara ini.
Beliau mendakwa sekolah vernakular Tamil merupakan harta dan denyut nadi bangsa mereka.
Menganggap kenyataan Pemuda MIC sebagai ketandusan Idea, Nor Izzat mempersoalkan mengapa kenyataan itu dikeluarkan dari peringkat pemuda tetapi bukan dari pemimpinan tertinggi parti berasaskan kaum India itu.
Dalam masa sama, beliau turut mempersoalkan peranan parti politik Melayu dominan yang sepatutnya bersama-sama memperjuangkan isu sekolah vernakular kini demi perpaduan rakyat Malaysia.
Katanya, PEMBELA mahu membetulkan keadaan tapi sayangnya sehingga kini tiada pihak yang tampil untuk berjuang demi membetulkan masa depan anak bangsa di negara ini.