SELASA, 14 DISEMBER – Keanggotaan tiga ahli parti BERSATU yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 atas tiket Bebas gugur secara automatik.
Perkara tersebut disahkan Pengerusi BERSATU Sarawak, Senator Jaziri Alkaf Abdillah Suffian.
Mereka ialah Siki Balarik di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Belaga, Ricky Enteri (DUN Bawang Assan) dan Ismawi Muhammad (DUN Muara Tuang).
Tambah Jaziri, pihaknya telah memberikan mereka masa dan peluang untuk menarik diri tapi tiada tindakan dibuat mereka, maka keahlian mereka gugur serta merta.
Beliau turut menegaskan, BERSATU tetap dengan pendirian tidak bertanding pada PRN Sarawak.
Isnin lalu Ali, penyandang kerusi itu membuat kejutan apabila tampil bertanding sebagai calon Bebas di Krian, bertentangan dengan pendirian Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memutuskan bahawa parti itu tidak bertanding pada PRN kali ini sebaliknya memberi sokongan kepada GPS.
Bagaimanapun Ahli Parlimen Saratok yang juga Naib Pengerusi BERSATU Sarawak itu akhirnya menarik diri atas alasan bagi memelihara muafakat dan memperkukuh hubungan antara Perikatan Nasional dan GPS sekali gus menyaksikan beberapa pemimpin gabungan politik itu meminta beliau menerangkan keadaan sebenar kepada pengundi.