ISNIN, 13 DISEMBER – Semua agensi penyaluran maklumat di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) diminta meneruskan usaha kesedaran mematuhi SOP mencegah penularan Covid-19 khususnya semasa musim pilihan raya ini.
Menteri berkenaan Tan Sri Annuar Musa berkata, usaha itu tidak boleh terhenti memandangkan rakyat perlu sentiasa diingatkan mengenai peranan mereka dalam soal pematuhan SOP tanpa perlu bergantung kepada langkah penguatkuasaan semata-mata.
Tambah Anuar, pihaknya mengharapkan situasi yang ideal dengan membuat satu SOP dan semua orang sentiasa patuh padanya.
Annuar juga berkata, dalam situasi PRN Sarawak pada ketika ini, agensi KKMM seperti Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), Jabatan Penerangan dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) perlu sentiasa bersedia membantu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyalurkan penjelasan mengenai SOP yang dilaksanakan demi kepentingan orang awam.
Jelasnya lagi, rangkaian antara agensi sendiri untuk saling membantu adalah penting untuk mendapat maklumat yang sahih, pantas dan tepat.