ISNIN, 13 DISEMBER – Sasaran kerajaan untuk mewujudkan 500 ribu peluang pekerjaan sepanjang tahun ini berjaya dicapai, selepas 500,257 pencari kerja sudah berjaya memperoleh peluang pekerjaannya menerusi 27 inisiatif diperkenal kerajaan setakat 3 Disember lalu.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kejayaan diperoleh seiring Aspirasi 100 hari Keluarga Malaysia ini, amat bermakna terutama ketika pasaran buruh menghadapi cabaran getir akibat pandemik COVID-19.
Ismail berkata, pencapaian ini juga dipacu menerusi inisiatif utama diperkenal kerajaan sebelum ini iaitu Program Insentif Pengambilan Pekerja (PenjanaKerjaya) dan Malaysia Short Term Employment Programme (MySTEP).
PenjanaKerjaya 2.0 berjaya menempatkan seramai 221,966 orang pekerja, melangkaui sasaran keseluruhan 200 ribu peluang pekerjaan bagi tahun ini.
MySTEP pula, berjaya melangkaui sasaran keseluruhan 50,000 peluang pekerjaan tahun ini, dengan menempatkan seramai 61,328 pekerja secara kontrak selama sekurang-kurangnya 6 bulan di pelbagai kementerian, agensi kerajaan serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC).