ISNIN, 13 DISEMBER – Pengerusi Barisan Nasional BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu supaya parti komponen BN mengetepikan masalah dalaman parti agar boleh menjadi kerajaan dominan di negara ini pada Pilihan Raya Umum ke-15, PRU15.
Ahmad Zahid berkata, sekiranya masalah dalaman khususnya isu-isu remeh yang tercetus antara parti komponen dan parti mesra BN dapat diketepikan, BN diyakini mampu memperoleh kemenangan besar pada PRU-15 kelak.
Datuk Seri DR Ahmad Zahid sebagai Pengerusi Barisan Nasional berkata :
“…oleh yg demikian, kita dalam BN, MCA dan dari parti-parti lain we have to move forward. Kita ketepikan titik bengit dalam kalangan parti kita and inter party we have to resolve it kerana kita mahu lihat bahawa dalam PRU akan datang BN menjadi dominan semula sebagai kerajaan di Malaysia ini…”
Mengulas lanjut, Zahid berkata, rakyat Malaysia mahukan sebuah kerajaan yang kukuh dan stabil dari segi ekonomi dan berdasarkan rekod prestasi selama lebih tujuh dekad mentadbir negara ini, justeru, hanya BN dilihat mampu merealisasikan hasrat berkenaan.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Perhimpunan Agung MIC ke-75 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di Kuala Lumpur, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau turut mengingatkan semua parti komponen BN supaya tidak sombong, angkuh dan riak dengan kemenangan BN pada Pilihan Raya Negeri Melaka, baru-baru ini.
Katanya, jika kemenangan PRN Melaka dijadikan panduan, ia boleh disifatkan bahawa rakyat Malaysia ‘amat merindukan’ BN untuk kembali menerajui semula kerajaan pada PRU Ke-15.