
(Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah, Pemerhati Politik)
ISNIN, 13 DISEMBER – Sudah sampai masanya, mereka yang dilantik sebagai anggota Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) dikaji dan disiasat latar belakangnya.
Demikian yang dikatakan pemerhati politik, Prof DR Mohd Ridhuan Tee Abdullah.
Tegasnya suruhanjaya itu perlu diisi oleh individu yang berpegang teguh kepada prinsip Rukun Negara dan Perlembagaan, agar mempunyai jati diri.
“Jangan sama sekali lantik mereka yang mengingkari Rukun Negara, ingkar kepada perintah tuhan mereka sendiri dan tidak ada jati diri.”
– PROF DR MOHD RIDHUAN TEE ABDULLAH / Pemerhati Politik
Memetik Ismaweb, Ridhuan Tee mengingatkan jangan sama sekali melantik mereka yang mengingkari Rukun Negara, ingkar kepada perintah Allah dan tidak mempunyai jati diri sebagai anggota SUHAKAM.
Beliau berkata, paling menyedihkan terdapat wakil agamawan dalam SUHAKAM namun tidak kedengaran suaranya.
Jelasnya lagi, tiada masalah SUHAKAM dianggotai oleh individu bukan Islam tetapi biarlah dalam kalangan yang kuat berpegang kepada ajaran agama dan berpegang teguh kepada Perlembagaan negara.
Tambah Ridhuan Tee, isu-isu sensitif seperti hak LGBTQ, dilihat begitu cepat SUHAKAM memberikan respon dalam memberikan sokongan dan banyak lagi kontroversi yang boleh menggugat ketenteraman awam.
Dalam perkara berkaitan dengan hak asasi seperti hak wanita muslim yang didiskriminasi, hak kebajikan dan penindasan golongan penghantar makanan serta vendor P-Hailing, tidak pula kedengaran suara SUHAKAM.
Tindakan sebegini katanya, bukan sahaja menimbulkan masalah, malah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara, undang-undang Syariah dan Undang-Undang Sivil.
Jelas Ridhuan Tee, sekiranya suruhanjaya yang ditubuhkan boleh menimbulkan masalah kepada ketenteraman awam, maka sudah sewajarnya dilihat semula secara serius, sebelum nasi menjadi bubur.