ISNIN, 13 DISEMBER – Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bersedia mempertimbangkan perjawatan warden asrama sekolah jika didapati benar-benar wujud keperluan.
Menurut Ketua Pengarahnya, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman berkata JPA sememangnya sedang melaksanakan kajian pembaharuan perkhidmatan awam untuk melihat keperluan menggabungkan skim yang ada berdasarkan keperluan.
Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam berkata :
“ Dalam kes perjawatan warden ini, kita kena tengok dan faham juga sama ada dengan meletakkan warden, mampu menyelesaikan kes buli”
“Banyak jabatan minta (tambah jawatan) dan jika ada keperluan serta justifikasinya, kita akan pertimbangkan termasuk juga warden asrama ini”
Beliau juga berkata kajian ini akan melihat semua skim tugas yang lebih kurang sama untuk digabungkan atau ditempatkan di jabatan atau agensi yang memerlukan.
Sementara itu, beliau berkata JPA juga akan melihat secara saksama mengenai penambahan jawatan dalam perkhidmatan awam selain adakah ia boleh ditangani dengan penggunaan teknologi.
Semalam Berita Harian melaporkan beberapa pihak termasuk guru, pakar kaunseling dan kesatuan perguruan mahu kerajaan mewujudkan jawatan warden asrama sepenuh masa bagi menangani masalah yang sering timbul membabitkan sekolah berasrama di negara ini termasuk kes buli.
Sebelum ini, kes buli berlaku membabitkan penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) pada 2017 yang menyebabkan kematian Zulfarhan Osman Zulkarnain dan kembali hangat dengan insiden buli melibatkan pelajar tingkatan 1 di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di Kuala Kangsar, Perak.