
(Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob)
ISNIN, 13 DISEMBER – Harga barang dijangka kembali stabil pada awal tahun depan setelah lebih banyak negara mula membuka sektor ekonomi masing-masing, demikian kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata sekatan pergerakan turut dialami oleh negara luar yang mengeksport produk makanan kepada Malaysia sekali gus mengakibatkan penawaran berkurangan.
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku Perdana Menteri berkata :
“Saya percaya keadaan ini akan beransur pulih apabila sektor ekonomi masing-masing dibuka dan pengeluaran akan kembali normal dan kita jangka Insya-Allah pada awal tahun depan harga kembali stabil,”
Perdana Menteri berkata menyedari rakyat terkesan akibat kenaikan harga barang, kerajaan telah menganjurkan program jualan murah yang menawarkan harga barang yang rendah selain memberi peruntukan dan insentif kepada golongan terkesan.
Menurut beliau pelbagai program dan projek akan terus dilaksanakan kerajaan dalam usaha menjaga kepentingan serta kebajikan rakyat bagi mengurangkan beban mereka.
Katanya, Kementerian Pembangunan Luar Bandar juga telah menerima peruntukan tambahan sebanyak 500 juta ringgit antaranya bagi meningkatkan infrastruktur di kawasan luar bandar.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Khatan Perdana Parlimen Bera di Dewan Majlis Daerah Bera Padang Luas di Bera, hari ini.