ISNIN, 13 DISEMBER – Seramai 500,257 pencari kerja telah berjaya mendapat peluang pekerjaan melalui 27 inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan setakat 3 Dis lepas, sekali gus melepasi sasaran 500,000 peluang pekerjaan yang telah ditetapkan Kementerian Kewangan melalui Belanjawan 2021.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kejayaan itu sangat bermakna memandangkan pasaran buruh telah menghadapi pelbagai cabaran getir akibat penularan Covid-19 sejak Mac tahun lepas sehingga menyebabkan pengangguran melonjak kepada kadar tertinggi iaitu 5.3 peratus pada Mei tahun sama.