JUMAAT, 10 DISEMBER – Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sarawak, Datuk Ali Biju mengumumkan menarik diri sebagai calon bebas Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12.
Ali yang juga Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli berkata, keputusan itu dilakukan setelah mempertimbangkan dengan penyertaannya dalam pilihan raya negeri mungkin menyebabkan jalinan kerjasama dan persefahaman antara Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan terjejas.
“Saya menginsafi hakikat bahawa keputusan ini akan menjejaskan hubungan baik di antara Bersatu dan GPS. Saya telah mendapat nasihat dari pimpinan tertinggi parti serta jaminan daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Pengerusi PN, mengenai persefahaman kerangka besar politik nasional yang disepakati di antara PN dan Tan Sri Abang Johari Tun Openg selaku Pengerusi GPS.’’
– Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sarawak, Datuk Ali Biju
Malah beliau yakin muafakat itu adalah untuk meneruskan dan memperkukuhkan hubungan yang utuh di antara PN dan GPS.
Ali dalam satu hantaran di Facebooknya menjelaskan, beliau menawarkan diri sebagai calon DUN Krian setelah mengambil kira pandangan dan desakan daripada pimpinan masyarakat dan pengundi di kawasan itu.
Isnin lalu, Ali membuat kejutan apabila tampil bertanding sebagai calon Bebas di Krian.
Ali berdepan saingan empat penjuru daripada calon GPS, Friday Belik; calon Parti Sarawak Bersatu (PSB), Musa Dinggat dan calon Parti Bumi Kenyalang (PBK), Danny Kuan.
Ali menyandang kerusi DUN Krian selama dua penggal apabila meraih undi terbanyak pada PRN 2011 dan 2016 ketika mewakili PKR menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Kilat Beriak dengan majoriti 1,640 undi.