KHAMIS, 9 DISEMBER – Mahkamah rayuan hari ini mengekalkan sabitan bersalah terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sendirian Berhad.
Mahkamah turut mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dikenakan terhadap Najib sebelum ini atas alasan hukuman yang dikenakan adalah wajar.
Prosiding rayuan itu dikendalikan Panel tiga hakim yang diketuai oleh Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, bersidang bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera sebulat suara mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020 lalu.
Mahkamah Rayuan mendapati Datuk Seri Najib Razak diberikan kuasa istimewa dalam SRC kerana peranannya sebagai Perdana Menteri ketika itu.
Bekas Perdana Menteri itu mendakwa dalam pembelaan, tindakannya adalah bagi kepentingan nasional.
Datuk Abdul Karim Abdul Jalil berkata :
“Ini bukan bagi kepentingan nasional seperti didakwa, ini adalah memalukan negara (Nationali embarrassment),”
Bagaimanapun Abdul Karim berkata dengan mendedahkan kerajaan untuk menjamin syarikat korporat yang bermasalah ini bagi mendapatkan pinjaman bukan satu tindakan demi kepentingan negara, malah ia mengaibkan negara.
Menurut Abdul Karim, Mahkamah Rayuan mendapati wang yang dipindahkan dalam akaun Najib adalah hasil daripada aktiviti haram dan perayu mengetahui mengenai kemasukan wang daripada dana SRC dalam akaunnya.
“Kami mendapati Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf dalam mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes pecah amanah jenayah melampaui keraguan munasabah. Kami mendapati sabitan Mahkamah Tinggi terhadap semua tuduhan pengubahan wang haram terhadap perayu juga adalah selamat,”
Justeru itu, panel tiga hakim sebulat suara bersetuju dengan dapatan hakim Mahkamah Tinggi bahawa tuduhan pengubahan haram berjaya dibuktikan melampaui keraguan munasabah.
Najib, 68 tahun, memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai tahun lalu, yang menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atasnya selepas mendapati beliau bersalah atas tujuh tuduhan pecah amanah jenayah, pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan, membabitkan RM42 juta dana SRC.
Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun ke atas Najib bagi setiap tuduhan pecah amanah dan pengubahan wang haram (masing-masing tiga tuduhan) serta penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atau penjara lima tahun, bagi tuduhan menyalahgunakan kedudukan.
Bagaimanapun, beliau hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 12 tahun selepas hakim itu memerintahkan semua hukuman penjara berjalan serentak.