RABU, 8 DISEMBER – Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan sabitan bersalah terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd.
Panel tiga hakim yang diketuai oleh Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, bersidang bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera sebulat suara mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020 lalu.
Mahkamah turut mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda 210 juta ringgit yang dikenakan terhadap Najib sebelum ini atas alasan hukuman yang dikenakan adalah wajar.
Tujuh pertuduhan yang dikenakan terhadap Najib membabitkan tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kuasa melibatkan dana syarikat itu.
Datuk Abdul Karim Abdul Jalil berkata :
“Beliau melantik pengarah lain dalam syarikat itu dan menandatangani surat pelantikan, maka disebabkan itu, semua pengarah mematuhi arahan Najib di mana tiada bukti menunjukkan bahawa mereka tidak mematuhi keputusan berkenaan,”
Ketika Prosiding keputusan yang dijalankan menerusi aplikasi zoom pada jam 9:30 pagi tadi, Abdul Karim berkata, mahkamah bersetuju dengan dapatan Mahkamah Tinggi bahawa perayu adalah pengarah bayangan SRC.
Dalam penghakiman yang dibacakan, mahkamah antara lain menyatakan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali adalah selamat dan tidak perlu diubah.
Najib yang hadir prosiding keputusan itu dilaporkan tenang tanpa sebarang reaksi sejurus keputusan dibacakan oleh Abdul Karim.
Sebelum ini Najib memohon untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai tahun lepas yang mendapati dia bersalah atas satu pertuduhan salah guna jawatan sebagai perdana menteri, tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM42 juta dana SRC.