RABU, 8 DISEMBER – Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk menangguhkan sabitan dan pelaksanaan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta selepas menolak rayuannya untuk mengetepikan tujuh tuduhan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.
Datuk Abdul Karim Abdul Jalil yang mengetuai panel tiga hakim membenarkan permohonan pihak pembelaan setelah mengekalkan hukuman yang dijatuhi Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini untuk dirayu di Mahkamah Persekutuan
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan bekas Perdana Menteri itu selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk V Sithambaram membantah permohonan Najib untuk menangguhkan sabitan dengan berhujah bahawa sabitan tidak boleh ditangguhkan.
Bagaimanapun, peguam Tan Sri Muhammad Shafee berhujah, Seksyen 311 Kanun Acara Jenayah menyatakan bahawa perintah dan sabitan boleh dirayu, dengan itu boleh ditangguhkan.
Beliau berkata, jika anak guamnya tidak boleh menangguhkan sabitan, ia akan menjejaskan kedudukan beliau sebagai Ahli Parlimen.
Sementara itu, peguam Farhan Read berhujah, Najib tidak pernah disabitkan dengan mana-mana kesalahan jenayah dan beliau tidak pernah melanggar syarat jaminan.