SELASA, 7 DISEMBER – Mahkamah rayuan mengarahkan kes rayuan SRC International diteruskan secara dalam talian pada jam 12.30 tengah hari tadi atau bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan dikenakan waran tangkap.
Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, yang mengetuai panel tiga hakim bersama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, juga berkata keputusan rayuan Najib terhadap sabitan kesalahannya juga akan diteruskan esok.
Peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah malam tadi, mengemukakan permohonan untuk menangguhkan perbicaraan bagi kes SRC International selepas salah seorang peguamnya didapati positif COVID-19.
Justeru, pasukan pembelaan Najib sebelum ini memohon penangguhan pendengaran mereka untuk mengemukakan bukti baharu dalam kes rayuan SRC International Sdn Bhd yang dijadualkan didengar pada Selasa.
Peguam utama dalam pasukan itu, Muhammad Shafee memaklumkan mahkamah melalui surat, yang didedahkan kepada media lewat malam tadi, bahawa salah seorang peguamnya didapati positif COVID-19 manakala yang lain telah menjadi kontak rapat.
Mahkamah Rayuan sepatutnya mendengar permohonan yang difailkan oleh Najib pada 1 Disember lalu di mana Ahli Parlimen Pekan itu meminta Mahkamah Rayuan membenarkan dan mengarahkan bukti lisan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia SPRM, Datuk Seri Azam Baki antara lain untuk diambil bagi tujuan rayuan Najib.
Dalam pada itu, Mahkamah Rayuan pagi tadi turut memberi peringatan tegas terhahap Najib bahawa mahkamah bukan kedai kopi.
Demikian reaksi mahkamah mengenai ketidakhadiran Najib pada prosiding jenayah hari ini kerana didakwa mempunyai kontak rapat dengan individu positif COVID-19.