SELASA, 7 DISEMBER – Tiga panel Hakim Mahkamah Rayuan menolak untuk membatalkan permohonan Datin Seri Rosmah berhubung kes rasuah melibatkan dana projek solar hibrid sebanyak RM1.25 bilion.
Ketika menyampaikan keputusan Hakim Datuk Hanipah Farikullah berkata mahkamah juga menolak permohonan perayu untuk menggugurkan Datuk Seri Gopal Seri Ram sebagai Ketua Pendakwaan kes dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini.
Memetik sinarharian menurut Datuk Hanipah, keputusan itu dicapai kerana Mahkamah Tinggi Jenayah tidak mempunyai bidang kuasa untuk memberi pelepasan seperti yang dipohon pasukan pembelaan.
Selain itu, Hanipah berkata pelepasan yang dipohon pembelaan adalah ‘declatory order’ iaitu peruntukan spesifik di bawah Akta Pelepasan Khusus 1950. Sehubungan itu, kedua-dua permohonan perayu ditolak.
Bekas isteri Perdana Menteri itu kini sedang menghadapi perbicaraan di Mahkamah Tinggi berhubung dakwaan meminta suapan RM187.5 juta dari Jepak Holdings Sendirian Berhad.
Mengikut kertas pendakwaan, suapan itu adalah sebagai dorongan bagi membantu syarikat itu mendapatkan projek solar hibrid di Sarawak menerusi rundingan terus dengan Kementerian Pendidikan Malaysia.
Sementara itu esok permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membenarkan bukti baharu dikemukakan dalam rayuannya terhadap sabitan dan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kerana menyalahgunakan dana SRC Internasional Sendirian Berhad.
Permohonan itu akan didengar sehari sebelum Mahkamah Rayuan menyampaikan keputusannya pada Rabu.
Najib merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai tahun lalu yang menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas mendapati beliau bersalah atas tujuh tuduhan pecah amanah jenayah (CBT), pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan, membabitkan RM42 juta dana SRC.