ISNIN, 6 DISEMBER – Tiga lagi kes baharu Kluster Intan Delima Dua menjadikan keseluruhan 39 kes positif COVID-19 membabitkan pelajar dan pensyarah Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan (KMNS), Seremban.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Alam Sekitar, Kesihatan, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S Veerapan, berkata tiga kes baharu itu dikesan semalam.
Katanya, kesemua mereka sedang menjalani kuarantin di rumah dan asrama KMNS selain di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Kuala Pilah.
Individu yang dikesan positif ini ada yang bergejala dan ada yang tidak, bagaimanapun setakat ini tiada yang memerlukan bantuan pernafasan.
Kelmarin TV Pertiwi sebelum ini melaporkan sebanyak 32 kes positif COVID-19 dilaporkan di KMNS membabitkan kluster baharu, Kluster Intan
Delima 2 disusuli pertambahan empat kes pada Sabtu.
Veerapan berkata, keadaan kes adalah terkawal, malah pengurusan kolej memberikan kerjasama baik dalam menguruskan pelajar yang dikuarantin termasuk makan minum dan hal ehwal kebajikan pelajar.
Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan akan terus memantau perkembangan kolej berkenaan dari semasa ke semasa.