ISNIN, 6 DISEMBER – Tiada perarakan mengiringi calon yang bertanding diadakan pada hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN-12), Isnin ini.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak, berkata ia berikutan ketetapan larangan sebarang aktiviti berkumpul sepanjang proses berkenaan.
Beliau berkata, hanya calon, pencadang dan penyokong calon sahaja dibenarkan masuk ke Pusat Penamaan Calon (PPC).
Jelasnya, Penyokong parti politik yang diwakili oleh bakal calon tidak dibenarkan hadir ke PPC.
Ikmalrudin berkata, bagi memudahkan proses penamaan calon, SPR meminta bakal calon agar mengisi dan membuat semakan awal pengisian borang itu dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Sarawak sebelum hari penamaan calon.
Menurutnya lagi, kertas penamaan calon boleh dikemukakan bermula jam 9 pagi sehingga 10 pagi kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya (RO) di 82 PPC.