Oleh Ruszaini Ruslan, Wartawan TV Pertiwi.
ISNIN, 6 DISEMBER – Minggu lalu, Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd mengumumkan bakal menaikkan harga pada roti-roti keluaran mereka bermula 1 Disember. Namun, Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyarankan agar syarikat itu menangguhkan dahulu kenaikan harga tersebut,
Tinjauan krew TV Pertiwi di sekitar Bangi hari ini mendapati penjualan roti keluaran syarikat tersebut sedikit merosot, namun masih memberangsangkan.
Ini kerana makanan ini sudah menjadi sebahagian dari hidup masyarakat kita.
Menurut beberapa pengusaha kedai runcit di sekitar Bangi, tidak banyak keluhan diterima daripada pembeli berkenaan kenaikan harga tersebut memandangkan ramai yang sudah sedia maklum mengenai perkara itu.
Walaupun menunjukkan sedikit penurunan, namun penjualan roti ini masih berjalan lancar.
Mufti Armia, Pekedai berkata :
“ada jugak lah kadang-kadang, ada orang yang terkejut….barang sekarang pun naik semua kan, apa boleh buat”
Fakhrulrazi Zainal Abidin, Pekedai juga berkata :
“nak beli tapi daya beli dia sudah kurang lah….kalau dulu orang beli 3, sekarang 1 je sebab nak jimat, pasal harga tu kan”
Zulfahmi Abdullah, Pekedai turut berkata :
“sekarang mulai kurang lah….sekarang 100. Kurang la. dulu kan ada perbandingan….sekarang 100 pun tak habis”
Meskipun bukan makanan ruji, namun roti ini sangat dekat dengan hati rakyat Malaysia.
Bukan sahaja kerana ia makanan yang ringkas untuk mengalas perut, tetapi ia juga adalah makanan alternatif pilihan utama bagi mereka yang sudah jemu menjamah nasi setiap hari.
Norliyana Ibrahim, Pembeli, “no choice lah, sebab roti gardenia salah satu favorite rakyat Malaysia kan….mungkin sebab jenama tu sendiri, dan dia well-known”
Pada awal penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac dua tahun lalu, penjualan roti gardenia menjadi satu fenomena di dalam negara.
Sehinggakan sehingga banyak pasaraya terpaksa mengehadkan pembelian roti itu bagi setiap pembeli.
Kini, dengan harga RM2.80 bagi sebuku kecil roti Classic Original Gardenia, pembeli masih kekal setia dengan jenama itu walaupun merasa sedikit terbeban.