ISNIN, 6 DISEMBER – Kes pertama positif varian yang dibimbangi (VOC) Omicron dikesan di Malaysia membabitkan pengembara bukan warganegara berusia 19 tahun yang tiba dari Afrika Selatan melalui Singapura pada 19 November lalu.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, individu berkenaan menjalani ujian RT PCR Covid-19 setibanya di pintu masuk antarabangsa Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Individu berkenaan adalah penuntut di sebuah universiti swasta di Ipoh, Perak. Kes diberi Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di bawah Seksyen 15, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) dan menjalani kuarantin wajib di penginapan disediakan pihak universiti di Ipoh.
Perjalanan kes dari KLIA ke Ipoh adalah menggunakan bas yang disediakan khas oleh pihak universiti.
Khairy berkata, individu berkenaan menjalani kuarantin seorang diri di penginapan yang disediakan dan berdasarkan siasatan dijalankan, beliau patuh kepada perintah dikeluarkan.
Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) mengesahkan sampel ujian saringan berkenaan positif Covid-19 dengan CT Value 26.68 pada 20 November lalu.
Kes meneruskan pengasingan di rumah yang sama selama 10 hari dan diberi pelepasan pada 29 November. Pengesanan kontak rapat dijalankan ke atas semua penumpang bas dan pemandu iaitu seramai lima orang.