JUMAAT, 3 DISEMBER – Sementara itu, semalam Perdana Menteri melancarkan Program Jualan Keluarga Malaysia (JKM) dengan strategi serampang dua mata iaitu membasmi peranan orang tengah dan menawarkan barangan pada harga subsidi demi manfaat rakyat.
Dilaporkan lebih 50 jenis barangan keperluan asas termasuk produk pertanian dan hasil laut bakal ditawarkan pada harga 15 hingga 20 peratus lebih murah.
Jualan Keluarga Malaysia dilaksanakan di lokasi terpilih dan kekerapannya akan ditambah mengikut kesesuaian dari semasa ke semasa, berbanding perancangan asal dua kali sebulan.
Program cetusan KPDNHEP itu diadakan dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) dan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS).
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, JKM akan diadakan di banyak lokasi sehingga harga barangan keperluan asas di pasaran kembali stabil.
Namun, mampukah langkah ini iaitu Jualan Keluarga Malaysia menyelesaikan isu kenaikan harga barang atau setidak-tidaknya mengurangkan bebanan yang terpaksa dihadapi oleh semua rakyat Malaysia.