
(Foto hiasan / sumber : mykmu.net)
JUMAAT, 3 DISEMBER – Kegusaran orang ramai terhadap kenaikan harga barang ketika ini juga meningkat. Ramai yang ingin mengambil peluang bagi jualan hujung tahun rata-ratanya akan memberikan potongan harga tertentu.
Namun harapan harga promosi itu bakal meleset, kerana pelbagai produk dan barangan mencatatkan kenaikan harga terutama pada November dan Disember ini.
Sejak bulan September tahun ini kenaikan harga barang sudah terasa apabila harga ayam secara mendadak dijual pada harga RM10.30 sekilogram daripada RM6.90 hingga 8.89 sekilogram.
Kenaikan harga ayam ini diiringi kenaikan harga telur ayam sehingga RM3 ringgit sepapan.

(Harga kenaikan sayur / sumber : TV Pertiwi)
Lebih mengejutkan apabila sayur-sayuran yang juga makanan asasi naik mendadak sehingga 200 peratus antaranya Kubis Bunga, Sawi Pendek, Brokolo, kacang buncis dan cili merah.
Bukan sahaja ayam dan sayur, terbaru kenaikan harga juga dicadangkan pembuat produk Gardenia yang sepatutnya bermula semalam.
Dalam masa yang sama terdapat syarikat bekalan ais yang menaikkan harga sehingga RM0.50 sen sebungkus. Perkara itu mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang akhirnya menegaskan tiada sebab harga ais perlu naik.
Kenaikan harga barang mentah memberi kesan kepada peniaga sehingga beberapa peniaga turut menaikkan harga makanan seperti harga burger berikutan harga patii daging dan ayam meningkat dari RM4.90 ke RM5.50 bagi setiap pek manakala harga marjerin naik dari RM5.50 ke RM7.80.
Selain makanan, harga bahan binaan turut mengalami peningkatan seperti besi dan simen konkrit sehingga 48 peratus.
Begitu juga yang berlaku terhadap alat ganti kenderaan yang naik hingga 60 peratus ekoran masalah bekalan dan peningkatan kos pengangkutan.
Kenaikan harga barang terus menjadi polemik dalam negara.