
(Presiden Ikatan Guru-guru Muslim Malaysia (iGuru), Ustaz Azizee Hasan)
KHAMIS, 2 DISEMBER – Agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan GLC dan swasta perlu lebih mengutamakan penggunaan Bahasa Melayu berbanding Bahasa Inggeris.
Presiden Ikatan Guru-guru Muslim Malaysia (iGuru), Ustaz Azizee Hasan berkata, penggunaan Bahasa Melayu perlu dimartabatkan bermula dari peringkat sekolah.
Justeru katanya, Menteri Pendidikan perlu mempertegaskan penggunaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa pengantar pembelajaran bukan sahaja di sekolah aliran kebangsaan tetapi juga di sekolah vernakular.
Azizee Hasan sebagai Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru) berkata :
“…kita kena junjung apa yang termaktub dalam perlembagaan yang meletakkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa kebangsaan dan disini peranan semua pihak tidak kira ahli politik mahupun panjawat awam untuk memastikan perkara 152 dimartabatkan. Peranan dewan Bahasa untuk menyuburkan Bahasa melayu untuk mengangkat ia sebagai Bahasa rasmi bukan sahaja digunakan dalam agensi kerajaan tapi diperluaskan kepada pihak berkuasa tempatan dan juga penggunaan signboard mesti ditekankan penggunaan Bahasa Melayu…”
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penguasaan Bahasa Melayu yang dilihat semakin lemah dalam kalangan masyarakat di Malaysia.
Dalam pada itu, mengulas mengenai Pelan Perpaduan Negara yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri baru-baru ini, Azizee berkata tidak akan mencapai matlamat jika hanya sekadar melaksanakan program, tetapi tidak menyelesaikan perkara asas yang menjadi tunjang utama.
“…kita terpisah perpaduan disebabkan oleh terpisahnya sistem pendidikan kita hari ini. Satu pendidikan sekular satu pendidikan vernakular. Ini memberi kesan ke arah mewujudkan perpaduan. Walau apapun dasar yang diwujudkan oleh kerajaan samaada satu malaysia sekalipun keberkesanan bergantung kepada komitmen dan iltizam semua pihak menjayakan kalau sekadar slogan tapi tidak diterjemahkan dalam bentuk praktikal ini menyebabkan kegagalan setiap perancangan atau dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan…”
Mengulas lanjut Ustaz Azizee berkata, kerajaan berperanan dalam menyakinkan rakyat Malaysia bahawa pelaksanaan dasar ini adalah satu langkah ke hadapan untuk mewujudkan perpaduan.
Katanya, apa sahaja dasar yang dilaksanakan termasuk ‘Keluarga Malaysia, perlulah berpaksikan pada agenda negara dan bukannya agenda politik semata-semata.