
(Wartawan TV Pertiwi berada di perkarangan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS))
Oleh Ruszaini Ruslan, Wartawan TV Pertiwi.
KHAMIS, 2 DISEMBER – Memetik Kenyataan Media Statistik Siswazah 2020 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia pada 27 Julai yang lalu. Kadar pengangguran di kalangan siswazah meningkat ketara sebanyak 37.2 ribu orang pada tahun 2020.
Ini susulan persekitaran ekonomi yang kurang memberangsangkan pada tahun tersebut memberi kesan kepada pasaran buruh, dan lepasan institusi pengajian tinggi juga tidak terkecuali.
Hari ini saya menghadiri Majlis Konvokesyen di sebuah institusi pengajian di Selangor, dan rata-rata graduan yang ditemui sudah berjaya mendapatkan pekerjaan sementara menunggu tempoh majlis konvokesyen yang tertangguh kira-kira 2 tahun akibat pandemik Covid-19.
Bagaimanapun, pengalaman mereka untuk memasarkan diri mereka dalam industri adalah berbeza-beza.
Imran Hamli, Graduan Ijazah Sarjana Muda TESL dengan Multimedia berkata :
“macam kami di bidang perguruan, kami tak ada masalah sangat untuk mencari pekerjaan…..senanglah untuk kami graduan pendidikan untuk mencari pekerjaan”
Zalikha Nordin, Graduan Ijazah Sarjana Muda Multimedia Kreatif (Interaktif Media), “secara jujurnya memang saya boleh katakana agak susah…..saya kira mungkin sekarang ni terlalu ramai graduan terlalu banyak persaingan”
Meskipun berjaya mendapatkan pekerjaan, namun mereka tidak menafikan masih ada rakan-rakan seperjuangan mereka yang masih bergelut untuk mencari pekerjaan. Malah ada yang terpaksa bekerja selain dari bidang yang dipelajari.
Iqbal Baharin, Graduan Diploma Sains Komputer berkata, “kalau lari bidang tu ada…..ada yang tengah mencari kerja, itupun ada jugak”
Aiman Zulkifli, Graduan Diploma Multimedia berkata, “tapi bagi saya kalau mereka ingin melanjutkan pelajaran, tak rugi pun sebab itu adalah ilmu…..takde masalah pun kalau nak melanjutkan pelajaran”
Dalam pada itu menurut seorang graduan yang menerima Anugerah Kepimpinan Siswa, para mahasiswa seharusnya tidak hanya bergantung pada silibus pengajian semata-mata.
Program-program kendalian mahasiswa di institusi juga adalah berbaloi untuk disertai dan merupakan nilai tambah yang baik bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan
Iqbal Haziq A Hanif, Graduan Ijazah Sarjana Muda Kewangan Islam (Perbankan) berkata :
“kalau boleh jangan tumpukan pada pelajaran sahaja…..aktiviti juga penting untuk kita tingkatkan kemahiran kita dekat luar sana nanti”
Tidak dinafikan lambakan para graduan menjadikan persaingan semakin sengit, apatah lagi dikala negara dilanda pandemik Covid-19, ribuan rakyat yang hilang pekerjaan menambahkan persaingan dalam pasaran buruh.
Namun, dengan usaha dan kreativiti, peluang baharu untuk menjana pendapatan sentiasa ada.
SILA TONTON DI SINI