
(Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong)
KHAMIS, 2 DISEMBER – Satu fakta pahit yang perlu ditelan oleh rakyat Malaysia ialah, sejak merdeka hingga sekarang, kerajaan telah membazirkan ratusan juta ringgit untuk membiayai sekolah vernakular.
Setakat tahun 2020, lebih 800 SJKC telah menerima separuh bantuan kerajaan dan lebih 400 lagi mendapat bantuan penuh kerajaan. Perkara ini dimaklumkan sendiri oleh Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong.
Ini adalah fakta yang diperlu disedari oleh rakyat Malaysia. Kerajaan berbelanja besar untuk sekolah vernakular yang kini sedang dipersoalkan keabsahannya di mahkamah.
Selain itu, dalam pembentangan Bajet 2022 baru-baru ini, kerajaan juga telah menambah peruntukan untuk sekolah vernakular kepada 120 juta berbanding 104 juta dalam Bajet 2021.
Untuk rekod, 23 November lepas adalah hari pendengaran kes mencabar keabsahan dan kedudukan sekolah vernakular di sisi Perlembagaan Persekutuan yang diketuai NGO Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), GPMS, MAPPIM dan Gapena.
Prosiding telah berjalan selama beberapa hari bagi mendengar hujahan dan keputusan akan diumumkan pada 29 Disember nanti.
Antara hujah yang dikemukakan ialah kewujudan sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil adalah bercanggah dengan Perkara-Perkara 5, 8, 10, 11 dan 12 Perlembagaan Persekutuan.