RABU, 1 DISEMBER – PAS tidak wajar meletakkan calon bertanding pada Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN-12) Sarawak.
Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu (BERSATU), Senator Datuk Razali Idris, berkata PAS sepatutnya membantu Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang akan berdepan dengan Pakatan Harapan (PH).
Katanya, GPS rakan kepada Perikatan Nasional (PN) pimpinan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menubuhkan kerajaan pada Februari tahun lalu.
BERSATU dan UMNO sudah memutuskan untuk tidak meletakkan calon bertanding pada PRN-12 Sarawak dan bersetuju membantu GPS memenangi 82 kerusi Dewan Undangan negeri (DUN).
Razali yang juga Ketua Badan Pimpinan BERSATU Terengganu berkata demikian ketika mengulas cadangan PAS Sarawak untuk meletakkan calon bertanding di 11 kerusi DUN Sarawak pada 18 Disember depan.
Setiausaha PAS Sarawak, Mukhtar Suhaili dilaporkan berkata, parti itu akan meletakkan calon, termasuk bukan Islam bertanding di 11 kerusi DUN.