RABU, 1 DISEMBER – Kerajaan memutuskan untuk memperhalusi semula langkah bagi mengumumkan fasa ‘Peralihan ke Endemik’ sehingga mendapat maklumat lanjut berhubung varian baharu COVID-19, Omicron.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata walaupun belum ada kes membabitkan varian Omicron di Malaysia, tindakan berhati-hati perlu dilaksanakan berikutan varian itu dilaporkan sangat pantas dan mudah berjangkit.
Hishamuddin berkata, Sebelum ini pihaknya memutuskan kemungkinan mengumumkan fasa ‘Peralihan ke Endemik’ namun dihentikan seketika untuk melihat perkembangan varian Omicron yang menular ke seluruh dunia.
Beliau bimbang semua yang dirancang dan yang diumumkan dalam masa terdekat seperti kelonggaran, prosedur operasi standard (SOP) dan tujuh asas menuju fasa endemik mungkin terjejas jika tidak memantau varian ini secara dekat dan menanganinya.
Beliau yang juga Pengerusi Mesyuarat Menteri Kuartet COVID-19, berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan di Parlimen, semalam.