SELASA, 30 NOVEMBER – Hanya memerlukan beberapa wakil rakyat DAP dan Persatuan Lembaga Pengurusan Sekolah Cina Sarawak (Sha Dong Zong) membuat kecoh untuk mendapat perhatian dalam isu papan tanda Jawi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina di Pekan, Pahang.
Pengerusi pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Haji Aminuddin Yahaya berseloroh, apa sahaja yang dimahukan kumpulan cauvinis itu, mereka hanya perlu gertak dan yang mempunyai kuasa akan terus bertindak.
Beliau berkata tindakan Timbalan Menteri Pendidikan Mah Hang Soon campur tangan dengan mengarahkan jabatan pendidikan negeri membina papan tanda baru yang mengandungi aksara Cina dan Tamil dianggap tidak menghormati rakan politik dari UMNO, PAS mahupun BERSATU apatahlagi Menteri pendidikan sendiri.
Tegas Aminuddin, Timbalan Menteri sepatutnya menjadi agen membela polisi dan penguatkuasaan yang ditetapkan oleh kerajaan, selaras dengan falsafah pendidikan kebangsaan bukannya yang sebaliknya.
Tambah Aminuddin, mungkin ada benarnya juga dakwaan yang mengatakan tugas Timbalan menteri pendidikan hanya untuk menjaga sistem sekolah vernakular kerana seringkali kedengaran isu membabitkan sekolah vernakular akan ada campur tangan dari Timbalan menteri pendidikan.
Sebelum ini, beberapa sekolah rendah bantuan kerajaan beraliran Cina di Pekan, Pahang menerima papan tanda nama sekolah baru dalam Bahasa Melayu dan tulisan jawi tanpa aksara Cina.
Isu berkenaan mencetuskan kebimbangan dan rasa tidak senang terutama di kalangan DAP dan Sha Dong Zong.