SELASA, 30 NOVEMBER – Agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera terus diberi keutamaan oleh kerajaan melalui penyediaan pelbagai pakej rangsangan dan pelan pemulihan bagi membantu mereka bertahan dan berdaya saing dalam norma baharu.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini bagi memastikan usahawan Bumiputera mampu menempa kejayaan sekali gus membantu memulihkan ekonomi negara.
Pembentangan Bajet 2022 bertemakan “Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera” baru-baru ini memperuntukkan sebanyak RM11.4 bilion bagi melaksanakan pelbagai inisiatif di bawah payung pembangunan Bumiputera.
Daripada jumlah ini, sebanyak RM4.8 bilion dikhususkan untuk pelbagai program peningkatan kapasiti dan pembiayaan perniagaan yang akan disalurkan melalui Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB), Tekun Nasional dan Dana Kemakmuran Bumiputera.
Jelas Ismail, melalui peruntukan yang diterima, PUNB akan mengukuhkan lagi strategi pembangunan perniagaan Bumiputera agar dapat melahirkan usahawan berdaya tahan dan progresif sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Ismail Sabri turut memuji PUNB kerana bersama dengan kerajaan dalam memperkasa dan membantu ketahanan usahawan dan perniagaan Bumiputera semasa pandemik ini menerusi pemberian moratorium pembiayaan dan pengecualian sewaan premis perniagaan secara berperingkat dari April 2020 sehingga Disember ini.
Sebagai usahawan, langkah ke hadapan adalah untuk anda menggunakan teknologi terkini dalam perniagaan untuk meningkatkan produktiviti, memberi jaminan dari segi kestabilan, kelestarian dan daya tahan sesebuah perniagaan selain peluang pasaran tanpa sempadan.