ISNIN, 29 NOVEMBER – Sabah membenarkan kemasukan pelawat yang lengkap vaksin tanpa perlu menjalani ujian saringan COVID-19 berkuatkuasa 1 Disember ini.
Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata individu yang tidak boleh divaksin atas sebab kesihatan perlu mengemukakan laporan perubatan yang disahkan oleh pengamal perubatan berdaftar.
Datuk Masidi Manjun sebagai Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Sabah berkata :
“Individu yang bergejala akan diarahkan untuk menjalani ujian COVID-19 dan diberikan arahan ‘Home Surveillance Order’ atau HSO sehingga keputusan dikeluarkan,”
Masidi berkata, individu berusia 12 tahun ke atas yang belum divaksin atau belum lengkap divaksin perlu melakukan saringan COVID-19 dan menunjukkan slip keputusan ujian negatif di pintu masuk negeri ini.
Bagi pengembara domestik yang lengkap vaksin hanya perlu mengisi borang deklarasi kesihatan dan bukti status telah lengkap divaksin ketika penilaian risiko di pintu masuk Sabah.
Masidi berkata bagi individu yang belum divaksin atau belum menerima vaksin lengkap tertakluk dengan SOP sedia ada iaitu membuat ujian saringan COVID-19 tiga hari sebelum memasuki Sabah dan mengisi borang deklarasi kesihatan.
“Pengembara yang tidak mendapat kelulusan HSO KKM, boleh meneruskan perjalanan ke Sabah dan dikuarantin di pusat kuarantin hotel (yang diwartakan) atau pusat kuarantin Institut Latihan Awam (ILA) yang disediakan di negeri ini,”
Sementara itu, bagi pengembara antarabangsa yang lengkap vaksin, mereka diarahkan menjalani kuarantin wajib selama tujuh hari dan menjalani ujian saringan RT PCR pada hari ke-5 tempoh kuarantin.
Pengembara antarabangsa yang belum menerima vaksin lengkap diarahkan menjalani kuarantin wajib selama 10 hari dan menjalani ujian saringan RT PCR pada hari ketujuh tempoh kuarantin.
Masidi berkata pengembara antarabangsa diwajibkan menjalani ujian saringan RT PCR ketika ketibaan dan mendapat kelulusan HSO daripada Kementerian Kesihatan (KKM).