ISNIN, 29 NOVEMBER – Perjanjian memorandum persefahaman (MOU) yang ditandatangani antara kerajaan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan Pakatan Harapan (PH) bukanlah “kitab suci” yang akan menghalang pilihan raya umum (PRU) ke-15 diadakan lebih awal daripada Julai tahun depan.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa ini tidak bermakna perjanjian itu perlu “dilanggar”, tetapi sekadar rundingan boleh diadakan untuk mencapai keputusan bersama.
Jelas Zahid, pihaknya menghormati MOU itu, tetapi MOU itu bukan kitab suci, jauh daripada ayat-ayat tercatat dalam al-Quran.
Katanya lagi yang dipetik Malaysiakini seharusnya MOU itu tidak perlu dilanggar tetapi yang terbaik adalah berunding dan semua pihak sudah pasti ada pandangan yang berbeza dan secara konsensus.
Keputusan majoriti katanya akan dibuat berdasarkan kepada hasil perbincangan yang diadakan. Zahid dilihat mengetuai gesaan untuk PRU-15 diadakan lebih awal susulan kemenangan besar UMNO dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka hujung minggu lalu.
Katanya, sebarang keputusan untuk mengadakan PRU lebih awal adalah berdasarkan nasihat yang mengambil kira pelbagai faktor termasuk MOU yang dimeterai.
Zahid berkata dia tidak mempunyai kuasa untuk menentukan tarikh PRU dan sebarang keputusan untuk mengadakan pilihan raya perlu mengambil kira semua faktor termasuk kepentingan rakyat yang harus diutamakan.