ISNIN, 29 NOVEMBER – 240 pengembara dari Singapura menggunakan skim laluan perjalanan lengkap vaksin (VTL) Udara selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Ketibaan mereka yang menaiki pesawat SQ108 tiba pada jam 9.25 pagi tadi disambut Pengerusi Malaysia Airports Holdings BHD (MAHB), Datuk Seri Doktor Zambry Abd Kadir.
Zambry berkata, ini merupakan penerbangan bersejarah kerana selama ini Singapura dan Kuala Lumpur merupakan sektor yang paling sibuk dalam dunia.
Tambahnya, mungkin ada halangan yang melambatkan proses itu dan pihaknya akan perbaiki dari semasa ke semasa dan kemukakan kepada pihak berwajib.
VTL Darat antara Malaysia dan Singapura akan bermula selari dengan pelancaran VTL Udara pada 29 Nov ini dan dihadkan kepada pengangkutan bas dengan kuota harian tidak melebihi 1,500 pengembara pada peringkat permulaan.
Perkhidmatan bas yang membawa pengembara VTL darat melalui Tambak Johor mula beroperasi hari ini tepat jam 7.30 pagi.
Bas pertama Causeway Link yang berlepas dari terminal itu ke Queen Street, Singapura tepat 7.30 pagi tadi, cuma membawa hanya 5 orang.
Bagaimanapun bas pertama dari Queen Street yang membawa warga tempatan khususnya, tiba jam 9.15 pagi dengan kapasiti penuh seramai 45 orang memandangkan tiket bas habis dijual tidak sampai setengah jam selepas ia dibuka empat hari lalu.